gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 9 Sya’ban 1446H bersamaan dengan 8 Februari 2025M

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, melalui Jabatan Perhutanan, hari ini telah melancarkan poster Produk Perkayuan Negara Brunei Darussalam dalam satu majlis yang diadakan di ruang legar Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Mulia Reni Haji Yahya, Pemangku Pengarah Perhutanan, bersama Yang Mulia Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid. Sebagai simbolik pelancaran, Pemangku Pengarah Perhutanan menyerahkan poster berkenaan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid untuk diedarkan ke masjid-masjid di seluruh negara. Turut hadir dalam majlis ini ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Pelancaran poster ini bertujuan untuk mempromosikan hasil seni kraf pertukangan kayu tempatan yang eksklusif, dihasilkan oleh pengusaha produk perkayuan Negara Brunei Darussalam. Antara produk yang diketengahkan termasuk bingkai ayat-ayat suci, rehal, mihrab, cenderahati, barangan hiasan, serta perabot yang diinspirasikan oleh ukiran Islamik, sesuai untuk kegunaan masjid, surau, dan balai ibadah.

Produk perkayuan ini ditawarkan kepada orang ramai, agensi kerajaan, pihak korporat, serta individu persendirian. Ia sesuai dijadikan sebagai infaq, cenderahati kenangan, atau kegunaan peribadi dan sedia untuk ditempah. Maklumat lanjut mengenai senarai pengusaha serta produk yang ditawarkan boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR yang tertera pada poster.

TAMAT.

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Perhutanan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Negara Brunei Darussalam