SIARAN AKHBAR
KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN MENGADAKAN
KEMPEN KEBERSIHAN DI TAMAN REKREASI HUTAN BERAKAS
Bandar Seri Begawan, Hari Sabtu, 21 Muharram 1446 / 27 Julai 2024
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), melalui Jabatan Perhutanan, hari ini mengendalikan aktiviti kempen kebersihan yang bertempat di Taman Rekreasi Hutan Berakas bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa 2024. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap, KSSUP.
Objektif utama kempen kebersihan ini diadakan adalah untuk memelihara alam semulajadi dalam memastikan kawasan pantai, taman rekreasi hutan dan kawasan eko-pelancongan dalam keadaan bersih, bebas daripada pencemaran, serta selamat untuk dikunjungi oleh orang awam dan juga melindungi biodiversiti.
Selain daripada aktiviti kebersihan, aktiviti penanaman pokok turut dijalankan di mana sebanyak 70 anak pokok telah ditanam di kawasan-kawasan strategik di sekitar taman rekreasi hutan tersebut bagi mendukung Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam khususnya Strategi 2 (Liputan Hutan) iaitu untuk menanam sebanyak 500,000 pokok menjelang tahun 2035.
Kempen kebersihan pada hari ini, dijalankan di bawah inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan, telah disertai oleh seramai 170 orang warga Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Sebanyak 45 Kg sampah telah dikumpulkan.
-TAMAT
Disediakan oleh:
Jabatan PerhutananKementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Negara Brunei Darussalam